15 JUN: Malaysia mencatatkan sebanyak 50,511 kes demam denggi dan 88 kematian di negara ini sejak Januari hingga 13 Jun lalu berbanding 56,819 kes dan 88 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah kumulatif kes demam denggi pada tempoh itu berkurang berbanding tahun lepas, namun sejak lapan minggu lalu didapati berlaku trend peningkatan dengan purata lapan peratus seminggu.
Menurut beliau, berdasarkan trend itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan peningkatan kes berkenaan dalam gelombang kedua pada awal Jun hingga September ini.
“”Seluruh dunia kini diuji dengan pandemik COVID-19 dan Malaysia tidak terkecuali.
“Namun usaha berterusan untuk memerangi ancaman wabak demam denggi itu juga perlu diberi keutamaan memandangkan kes tersebut masih tinggi di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini sempena sambutan Hari Denggi ASEAN hari ini.
Dr. Adham berkata, sambutan Hari Denggi ASEAN yang disambut 15 Jun setiap tahun merupakan sambutan tahun ke-10 sejak dilancarkan 2011.
Menurut beliau, sambutan itu adalah sebahagian kempen kesedaran awam yang bertujuan mewujudkan inisiatif advokasi dalam membanteras demam denggi secara bersepadu.
“Ia juga bertujuan meningkatkan iltizam dan usaha berterusan semua pihak terlibat dalam mencegah demam denggi berlandaskan norma baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, ’10 Minit Hapuskan Aedes’ adalah tema sambutan Hari Denggi ASEAN di peringkat kebangsaan tahun ini.
Menurut beliau, tema itu bertujuan mewujudkan komitmen dan kerjasama padu semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta untuk bersama-sama menangani masalah denggi.
“Melalui pendekatan tema ’10 Minit Hapuskan Aedes’ mesej yang ingin disampaikan adalah masyarakat perlu meluangkan masa kira-kira 10 minjit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes pada setiap minggu.
“Tema itu juga selari dengan hala tuju KKM dalam pencegahan denggi yang memberikan penekanan kepada peranan komuniti untuk menjalankan aktiviti pemusnahan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis secara kendiri,” katanya.
Beliau juga menyeru semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masyarakat disaran melakukan aktiviti pencegahan denggi dengan mengutamakan penjarakan sosial, memakai pelitup hidup dan mulut.
Tambah beliau, selain itu mereka juga perlu kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman.
“Usaha ini akan diperkasakan lagi melalui penglibatan ejen kesihatan iaitu sukarelawan COMBI di seluruh negara.
“Mereka berperanan dalam membantu KKM menjalankan aktiviti pendidikan pencegahan demam denggi melalui pendekatan norma baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, sehingga 12 Jun lalu, terdapat 2,954 pasukan COMBI dengan penyertaan lebih dari 25,531 sukarelawan terdiri daripad komuniti di seluruh negara. -MOHD. FAIRUZ YUSOF