15 JUN: Kementerian Kesihatan membuat laporan polis hari ini berhubung dakwaan palsu kononnya van miliknya disalahgunakan untuk kegiatan jenayah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, van berkenaan adalah milik kementerian dan kakitangan yang terbabit adalah warga kerja kementerian.
“Kementerian Kesihatan telah membuat laporan polis berhubung aduan palsu yang tular di media sosial baru-baru ini. Kita juga mengarahkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menghubungi anda terlebih dahulu sebelum mereka datang ke rumah untuk mengambil sampel ujian swab COVID-19.
“Orang ramai juga boleh meminta pegawai Kementerian Kesihatan yang datang ke rumah mereka untuk mengambil ujian swab supaya menunjukkan kad kuasa atau menghubungi PKD terdekat bagi pengesahan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib,dalam satu kenyataan media menggesa orang ramai menghentikan penyebaran video mendakwa kononnya individu menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan dengan niat melakukan jenayah.
“Polis telah menjalankan siasatan dan mendapati ia adalah salah faham antara pengadu dengan pihak yang hadir di lokasi rumah pengadu.
“Nombor pendaftaran kenderaan yang ditularkan juga adalah salah dan tidak tepat sehingga wujud kenderaan yang lain.
“Tiga individu yang ditularkan itu disahkan kakitangan Kementerian Kesihatan dan kenderaan terbabit juga adalah milik kementerian berkenaan di daerah Petaling,” katanya.
Mengulas lanjut, Baharudin berkata, Kementerian Kesihatan telah membuat laporan polis bagi mengesahkan kehadiran pegawainya di lokasi terbabit bagi pemantauan pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19, kira-kira pukul 2 petang semalam. – Oleh HAIKA KHAZI