16 JUN: Pimpinan UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bermuafakat dalam memperkukuhkan kepimpinan Islam dan Melayu di negara ini.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim menggesa agar kepimpinan ketiga-tiga parti itu mengetepikan pandangan peribadi yang boleh menjejaskan ukhwah Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberi ruang untuk menunjukkan corak dan sekutu dalam kepimpinan beliau.
“Orang Melayu dan Islam mesti ada tempat untuk memerintah dan mentadbir negara dengan rakan-rakan sekitarnya.
“Dalam hal sedemikian, komen-komen yang menyakitkan hati, merosakkan perjuangan kita simpan dulu,” katanya.
Rais mengulas tentang kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin parti yang bergabung dalam PN yang dikhuatiri boleh membuka ruang untuk pihak lawan mengambil kesempatan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, semangat permuafakatan adalah perlu supaya pendapat peribadi disuarakan secara bijaksana.
“Takkan kita hendak berpolitik hari-hari? Bagaimana kita hendak memperkukuh ekonomi kita dan kehidupan orang kampung, orang di ladang, orang di laut.
“Ini yang harus kita bangkitkan sekarang. Bukan politik saya, atau politik seorang, berdua yang lidahnya agak tajam,” jelasnya.