Rais, Mohd Radzi & 3 lagi angkat sumpah Senator
16 JUN: Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim merupakan antara lima tokoh yang mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara hari ini.
Beliau merupakan ‘orang lama’ dalam dunia politik tanah air dan pernah menyandang pelbagai portfolio dalam Kabinet sejak 1974 hingga 2013.
Antara jawatan yang disandang beliau adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Bekas Ahli Parlimen Jelebu itu juga pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan mulai 1978 hingga 1982.
Seorang lagi tokoh veteran politik yang mengangkat sumpah sebagai Senator ialah bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Beliau yang merupakan Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu juga pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga lagi Senator baharu yang mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran ialah pemimpin Bersatu, Muhammad Zahid Md Arip; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, N Balasubramaniam.
Kesemua mereka merupakan lantikan baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dewan Negara mempunyai 70 senator dengan 26 dilantik oleh 13 negeri manakala 44 lagi dilantik Yang di-Pertuan Agong termasuk dua bagi Wilayah Perkutuan Kuala Lumpur dan satu untuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Tempoh jawatan adalah tiga tahun atau sepenggal dan seseorang senator hanya boleh dilantik semula sekali sahaja untuk dua penggal berturut-turut. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH