17 JUN: Kementerian Tenaga Manusia Singapura menegaskan pembantu rumah warga asing mengelakkan berhimpun dalam kumpulan besar semasa cuti ketika republik itu melangkah ke fasa dua selepas tempoh ‘circuit breaker’ berakhir.
Menurut laporan portal Berita Media Corp, kementerian itu makluman kepada para majikan hari ini semasa fasa pertama ‘circuit breaker’ dilaksanakan para pekerja terbabit dinasihatkan supaya duduk di rumah.
Kementerian itu menggariskan ‘pengaturan wajar’ bagi pembantu rumah asing semasa fasa seterusnya dan nasihat itu akan ‘terus dikuatkuasakan sehingga ia ditarik balik kelak.’
Peraturan itu termasuk meminta kebenaran majikan mengambil cuti pada hari biasa, menjaga jarak selamat dan memuat turun aplikasi TraceTogether.
“Pembantu rumah asing yang mahu meluangkan hari cuti mereka di luar harus meminta kebenaran majikan terlebih dahulu untuk melakukan demikan pada hari biasa apabila ruang-ruang awam kurang sesak,” kata kenyataan itu.
Makluman itu menambah, pembantu rumah asing harus memaklumkan kepada majikan tentang keberadaan mereka dan memuat turun serta mengaktifkan aplikasi TraceTogether bagi membantu dalam pengesanan kontak.
Ketika berada di luar semasa hari cuti, pembantu rumah asing juga dinasihati supaya terus mematuhi langkah-langkah penjarakan selamat.
“Kementerian juga menasihatkan para pekerja itu supaya jangan ‘berkumpul atau berlegar-legar di ruang awam’ mahupun mengunjungi tempat-tempat sesak seperti City Plaza, Lucky Plaza dan Peninsula Plaza.,” tegasnya.
Bagi pekerja yang mahu membuat pengiriman wang di tempat-tempat tersebut, jelas kementerian itu, Penguasa Kewangan Singapura sudah menasihatkan ejen pengiriman wang bahawa mereka mesti membuat temu janji bersama pelanggan masing-masing.
“Secara alternatif, pembantu rumah asing digalak untuk membuat pengiriman wang menerusi wadah elektronik.
“Kementerian menyatakan ia akan terus menjalankan pemeriksaan dan menyuraikan kumpulan besar serta perhimpunan di tempat terbuka.” ujarnya.
Tegas kementerian itu, para pembantu rumah asing yang tidak bekerjasama berisiko berdepan dengan denda dan pembatalan pas kerja mereka.