17 JUN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Pakatan Harapan Plus (PH Plus) masih belum mencapai kata sepakat dalam memuktamadkan calon Perdana Menterinya.
Beliau memberi alasan ada pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenai isu itu diumumkan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyebut tentang prinsip reformasi, mengembalikan keyakinan pelabur dan menjana semula ekonomi negara.
“Sebab itu kita (PH Plus) memohon maaf kerana kita terpaksa menangguhkan sedikit pengumuman mengenai kepimpinan yang bakal menerajui negara kita,” katanya dalam siaran langsung melalui Facebook miliknya, hari ini.
Walaupun beberapa perjumpaan diadakan oleh pemimpin-pemimpin PH Plus dalam tempoh seminggu ini, mereka masih berdepan masalah memilih sama ada Anwar atau Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.
Terdapat kemungkinan rundingan PH Plus akan berakhir dengan kegagalan sekiranya Anwar dan Dr Mahathir enggan bertolak ansur dalam soal menentukan calon Perdana Menteri.
Kegagalan itu sekali gus boleh meranapkan impian PH Plus untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semakin kukuh kedudukannya selepas lebih dua bulan mentadbir negara. – Oleh HUSSAINI AMRAN