22 JUN: Isu siapa Perdana Menteri kesembilan seperti tiada kesudahan bagi blok pembangkang apabila mereka masih belum memutuskan adakah Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan itu sekiranya kembali ke Putrajaya.
Hari ini Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak cadangan DAP untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan jika pembangkang merampas kuasa dan menjadi kerajaan.
Ketuanya, Akmal Nasir berkata, AMK memohon maaf kerana tidak bersetuju dengan cadangan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang menyatakan kesediaan untuk menyokong Dr. Mahathir sekali lagi untuk menjadi Perdana Menteri.
“Maaf, saya dan rakan-rakan AMK tidak bersetuju. Saya percaya pendirian kami ini mewakili suara akar umbi KEADILAN dan pendokong Pakatan Harapan (PH).
“Memang benar, jika dibiarkan Perikatan Nasional (PN) berkuasa, maka keadaan akan terus bertambah mudarat. Tetapi sudah-sudahlah dengan kaedah memilih kejahatan dalam kalangan jahat-jahat lesser of two evils.
“Sekiranya rakan-rakan lain mahu mengembalikan mandat rakyat, yakinkan yang berlima itu untuk menyokong PH, bukannya menggadaikan sokongan kita buat kali kedua,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran akaun Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, kewajaran PH untuk membentuk kerajaan adalah untuk membawa perubahan ke arah kebaikan dan membela rakyat kebanyakan, bukan dibelenggu dengan ketidaktentuan atau polemik berpanjangan.
“Ingatlah, kejatuhan kerajaan PH tidak akan berlaku sekiranya Perdana Menteri ketika itu tidak meletakkan jawatan tanpa perbincangan dengan PH.
“Kita bukan tidak sedar, pintu belakang sebenarnya dibuka jauh lebih awal yang mana mandat rakyat telah dikhianati dan dipijak begitu sahaja,” katanya.
Sebagai contoh, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, PKR tidak pernah mencadangkan Azmin (bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan kartelnya untuk dilantik sebagai Menteri, tetapi beliau angkat juga dan tubuh Kabinet ikut seleranya.
“Dasar pecah perintah sebegini rupa menyebabkan habis porak-peranda parti. Sampai sekarang, tindakan Azmin dengan Langkah Sheraton-nya langsung tidak dikecam.
Bila ditanya atau mohon pertimbangan, mulalah ditunjuk taring kuasa eksekutifnya.
“Ketika kita ada sokongan rakyat dan memiliki panduan yang jelas, perjuangan PH diketepikan dan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Presiden (dasar PH, peralihan, Majlis Tindakan Negeri dan lain-lain) terus-menerus tidak dipedulikan. Itulah, hendak ditegur tidak boleh sebab manifesto bukan kitab suci.
“Macam mana nak nafikan cerita komplot apabila berduyun-duyun kemasukan ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu disambut mesra yang mana hari ini terbukti tiada seorang pun setia dengan PH,” katanya.
Malah, Akmal mendakwa dalam keadaan PH diserang teruk dengan sentimen agama dan perkauman, bukan hendak diredakan tetapi Dr. Mahathir terus menyebabkan pepecahan dalam gabungan berkenaan dengan menganjurkan program seperti melalui Kongres Maruah Melayu.
“PH sewajarnya bergerak melangkaui sentimen dan pencaturan politik sedemikian. Jangan kita lupa kepada sifat dan jati diri yang berpegang kepada prinsip saling hormat-menghormati walaupun berlainan bangsa, agama atau budaya.
“Tak perlulah diceritakan satu persatu, cukuplah sekadar peringatan.
Buatlah penjanjian atau mekanisme macam mana sekali pun, bila asyik mungkiri (langgar janji) memang susah hendak dipercayai lagi.
“Kekalkanlah mempertahankan prinsip dan kebenaran, malah ini juga demi kebaikan bersama, demi Malaysia. Pendirian saya dan AMK, kami tidak akan menyokong kerosakan yang sama buat sekian kalinya.
Beliau secara peribadi lebih rela PH kembali kepada asas perjuangan, santuni aspirasi orang muda dan kekal fokus kepada isu-isu rakyat walaupun mengambil sedikit masa. – HAIKA KHAZI