18 JUN: Polis akan memanggil bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh ke Bukit Aman Selasa depan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan menerusi laman Facebook miliknya.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata keterangan Ahli Parlimen Segambut itu akan dirakam Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Hannah Yeoh akan dipanggil ke Bukit Aman Selasa depan. Keterangan Ahli Parlimen Segambut itu akan direkod USJT Bukit Aman,” katanya yang memetik portal BH hari ini.
Semalam, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dilaporkan berkata kes membabitkan bekas timbalan menteri itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Huzir dilaporkan berkata, ia masing-masing kerana kecenderungan menghasut, mempunyai niat mengapi-apikan atau yang mungkin mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain, serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Sebelum ini media melaporkan polis sedang menyiasat pemilik akaun Facebook ‘Hannah Yeoh’ mengikut Sekseyn 4(1) Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat menghasut.
Bagaimanapun bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menegaskan hantaran yang disiasat itu, yang dikaitkan dengannya, adalah palsu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut, berkata akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung dua kenyataan mengenai perkahwinan bawah umur.
“Semalam, Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa saya akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan dalam poster tersebut bukan kenyataan saya dan adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.