18 JUN: Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Mohd Sharim Md Zain diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang bakal diadakan 4 Julai ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat UMNO Bahagian Pekan, hari ini.
Menurut Wan Rosdy, pemilihan Mohd Sharim dibuat atas latar belakangnya sebagai anak tempatan yang aktif dalam gerakan belia di kawasan Felda.
“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar calon BN yang baru disebutkan tadi mendapat berkat daripada Allah.
“Semoga Allah SWT memberi kemenangan besar kepada BN,” jelasnya.
Beliau menambah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menentukan pemilihan calon BN.
Mohd Sharim, 41, merupakan generasi kedua Felda Chini 3 dan bekerja sebagai seorang usahawan.
Beliau aktif dalam gerakan belia dan menyandang jawatan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan yang menggabungkan 42 persatuan belia Felda.
Bapa kepada lima orang anak itu pernah menjadi pegawai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.
Selain itu, Mohd Sharim pernah bertugas sebagai Pegawai Koperasi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM). – Oleh HUSSAINI AMRAN