18 JUN: Pakatan Harapan (PH) seharusnya mengetepikan persengketaan politik dan bersama-sama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membina semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Penganalis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, perpaduan amat diperlukan dalam keadaan negara masih lagi berjuang memerangi wabak yang mengancam seluruh dunia itu.
Beliau yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, langkah itu juga penting bagi memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pemimpin politik di negara ini.
“Kerajaan memberi perhatian penuh untuk memulihkan ekonomi negara. Inilah masa pembangkang bantu kerajaan, beri cadangan bagaimana hendak membangunkan ekonomi negara semula.
“Buat masa ini semua pihak tidak kira PN atau PH, kurangkan berpolitik dan tumpu kepada usaha membaiki ekonomi secara perlahan-lahan,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Nadzri berkata COVID-19 yang melanda negara ini merupakan waktu tepat bagi semua pihak berganding bahu menerajui tugasan tersebut bersama dengan pakar-pakar ulung dalam merangka model ekonomi.
“Kerajaan dan pembangkang boleh bincangkan apakah idea-idea baharu atau manfaat yang rakyat dapat yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka yang susah akibat kesan COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH