4 agensi KDN kini nikmati BIMLTK
19 JUN: Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) yang ketika ini dinikmati oleh petugas Kementerian Kesihatan kini diperluas ke empat jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, empat jabatan yang menikmati kemudahan tersebut mulai 1 Jun lalu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membabitkan seramai 1,200 pegawai serta anggota.
Katanya, semua pegawai serta anggota terlibat bertugas di 98 fasiliti jabatan serta agensi terbabit di kawasan pedalaman dan pemberian bayaran tersebut merupakan tanda penghargaan kerajaan serta galakan kepada mereka.
“Dari segi pecahan, seramai 1,064 orang membabitkan PDRM, JPN (93), JIM (29) dan Rela (14).
“BIMLTK dibayar secara kadar bulanan mengikut kategori iaitu pedalaman 1 (P1) sebanyak RM500, pedalaman 2 (P2) sebanyak RM1,000 dan pedalaman 3 (P3) sebanyak RM1,500,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan pangkat secara ‘posthumous’ atau anumerta, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan untuk Allahyarham Sarjan Safwan Mohamad Ismail di Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Perak, hari ini.
Menurutnya, penentuan kategori tersebut adalah berasaskan kepada tahap kesukaran yang dinilai mengikut aspek-aspek kesampaian aksesibiliti, kemudahan asas dan kemudahan awam di kawasan pegawai atau anggota bertugas.
Terdahulu, Hamzah menyampaikan kenaikan pangkat Sarjan secara anumerta untuk Allahyarham (sebelum ini Koperal) Safwan kepada bapa Allahyarham, Mohamad Ismail Othman dan ibunya Norriza Mat Sani yang berkuat kuasa 3 Mei lepas.
Pada majlis itu, Hamzah turut menyampaikan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan Allahyarham Safwan sebanyak RM180,135, manakala waris akan menerima bayaran Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM sebanyak RM864 setiap bulan seumur hidup.
Allahyarham Safwan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor meninggal dunia selepas dilanggar seorang pemandu dipercayai mabuk ketika sedang membuat sekatan jalan raya pada 3 Mei lalu.
Pada 13 Mei lepas, pemandu terbabit K Kalaichelvan, 44, seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang, Selangor atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan membawa kenderaan tanpa lesen memandu.