19 JUN: Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat memberi perhatian sewajarnya terhadap golongan muda melalui pencalonan Mohd Sharim Md Zain mewakili parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, perkembangan itu berbeza dengan situasi semasa pilihan raya sebelum ini dan merupakan satu pembaharuan dalam dunia politik tempatan.
“Akhirnya, suara orang muda didengari dalam PRK. Kita dapat melihat BN memilih calon orang muda bagi PRK Chini pada kali ini.
“Ini sebenarnya memberi makna yang cukup besar dan melangkaui sempadan DUN Chini malah memberi isyarat yang jelas kepada anak muda bahawa mereka masih punya harapan dan masih ada peluang untuk menjadi wakil parti bagi meneruskan perjuangan,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Beliau percaya, langkah yang diambil BN itu berupaya menarik sokongan generasi belia di kawasan Felda.
Haslihelmy berpandangan, Mohd Sharim merupakan seorang anak tempatan yang dihormati ramai serta mempunyai rekod prestasi yang bersih dan dianggap sebagai ikon dalam kalangan ahli-ahli Majlis Belia Felda Malaysia. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH