19 JUN:Keahlian Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin mungkin tergugur susulan tindakannya berhasrat bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sebagai calon bebas.
Tindakan itu akan dikenakan berdasarkan Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan keahlian seseorang ahli parti akan tergugur jika bertanding dalam pilihan raya menentang calon parti dan tanpa kebenaran parti.
Setiausahanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Mohd. Yazid Mohd. Yunus menegaskan keanggotaan sebagai ahli Bersatu tergugur jika ingkar peraturan parti.
Beliau berkata, dalam fasal itu mereka yang ingkar peraturan parti termasuk bertanding dalam pilihan raya menentang calon dipersetujui bercanggah dengan pendirian Bersatu.
Jelasnya, ia sekali gus mengakibatkan keahlian tergugur serta-merta berdasarkan perlembagaan parti.
“Setiap ahli perlu mematuhi pendirian rasmi parti yang dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran selaras perlembagaan parti.
“Memang beliau ada nyatakan hasrat untuk bertanding ketika mesyuarat baru-baru ini namun kami tak setuju kerana di peringkat Pusat kita telah nyatakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional yang mewakili Perikatan Nasional,” katanya ketika dihubungi PNBBC Portal hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Yazid yang juga merupakan Ketua Bersatu Bahagian Paya Besar memberitahu, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci terhadap tindakan yang dilakukan oleh Zainul.
Menurut beliau, pihaknya akan memastikan sesiapa ahli Bersatu yang terlibat menyokong Zainul juga akan digugurkan sebagai ahli parti itu.
“Kita menunggu keputusan daripada Zainul sendiri, jika dia sendiri umum esok dia akan bertanding, maka secara automatiknya dia akan tergugur sebagai ahli Bersatu.
“Selepas itu, kita akan maklumkan kepada Lembaga Displin di peringkat Pusat bahawa beliau secara rasminya bukan lagi ahli Bersatu,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH