20 JUN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menghantar pemimpin dan ahli parti itu sebagai tanda sokongan membantu jentera Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, pemimpin dan ahli Gerakan peringkat Pahang membantu calon BN, Mohd. Sharim Md. Zain ketika proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan pagi tadi.
“Chini memang akan bertanding yang diwakili calon BN, oleh itu kita berikan sokongan kepada BN di PRK Chini.
“Memang hari ini kita telah mengarahkan wakil-wakil Gerakan daripada Pahang bagi satu sokongan kepada BN semasa penamaan calon,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila dua calon Bebas bertanding menentang calon daripada BN.
Calon Bebas itu adalah Tengku Datuk Hisham dan Mohd. Shukri Mohd. Ramli manakala BN mempertaruhkan Mohd. Sharim.
PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas, 7 Mei lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu Allahyarham selaku wakil BN mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.