20 JUN: Kes baharu COVID-19 di negara ini kembali merekodkan angka dua digit selepas Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 21 kes baharu dikesan setakat 12 tengah hari, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan KKM telah berjaya mengesan satu lagi kluster baharu di Labu Lanjut, Sepang.
Menurut beliau, sehingga kini lima kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kluster itu, namun punca jangkitan dalam kluster tersebut masih dalam siasatan.
“Penularan membabitkan kluster itu disyaki mungkin berkaitan aktiviti kunjung-mengunjung” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr. Noor Hisham memberitahu, kes indeks bagi kluster itu ialah seorang pesakit Acute Respiratory Infection (ARI) yang dirawat di Hospital Serdang sebelum disahkan positif virus berkenaan pada 5 Jun lalu.
“Aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati empat ahli keluarga beliau, iaitu dua anak dan dua cucunya, turut dijangkiti COVID-19.
“Tiga ahli keluarga tinggal serumah dengan beliau, manakala seorang lagi dari tempat kediaman yang lain.
“Siasatan dan saringan kontak rapat terus dijalankan. Setakat ini, 29 orang sudah dikenal pasti dan disaring,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH