20 JUN: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi amaran kepada pemimpin dan ahli parti supaya tidak mengubah suai dan mempermainkan logo parti kerana tindakan boleh dikenakan terhadap mereka.
Menurut laporan BERNAMA, beliau menegaskan, logo mana-mana parti adalah satu lambang yang seharusnya dihayati serta dipertahankan setiap ahli.
“Mereka yang mempermainkan logo parti bermakna tidak menyayangi lambang parti sendiri.
“Saya mengesyorkan mereka tidak melakukannya kerana tindakan boleh diambil mengikut perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan segelintir penyokong Bersatu yang menyokong Tun Dr. Mahathir melancarkan kempen ‘blackout’ dengan menukar warna logo parti itu kepada hitam putih dan memuat naiknya di laman media sosial.
Dalam perkembangan lain, Hamzah menafikan spekulasi kehadirannya di Sabah dan bertemu Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah atas sebab-sebab politik seperti yang didakwa Pengarah Pendidikan Politik Nasional DAP Liew Chin Tong.
Sebaliknya, beliau berkata, pertemuan itu adalah atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi membantu pihak yang memerlukan.
Hamzah berkata, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bertemu dengannya dan pintu Kementerian Dalam Negeri sentiasa terbuka untuk membantu orang ramai.