463,281 kes kematian COVID-19 seluruh dunia
21 JUN: Jumlah pesakit yang meningggal dunia akibat COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 463,281 kes, manakala bilangan mereka disahkan positif wabak berkenaan adalah 8.8 juta orang.
Memetik laporan Agensi, menurut data dikeluarkan oleh Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) jumlah kes kematian meningkat sebanyak 2,000 kes dalam tempoh 24 jam lalu, manakala AS kekal merekodkan bilangan kes maut tertinggi dengan 119,654 orang.
Diikuti Brazil sebanyak 49,976 kes kematian, United Kingdom (UK) (42,674), Itali (34,610), Perancis (29,636), Sepanyol (28,636) dan Mexico (20,394) manakala lain-lain masih mencatatkan kes kematian bawah 20,000 kes.
Dalam pada itu, AS juga menjadi negara yang tertinggi dalam kes jangkitan apabila merekodkan 2,251,205 kes disahkan positif COVID-19.
Ini diikuti oleh Brazil berada pada kedudukan kedua tertinggi iaitu sebanyak 1,032,913 kes, diikuti Russia (576,162), India (395,048), UK (304,580), Peru (247,925), Sepanyol (245,938), Itali (238,275), Chile (236,748) dan Iran (202, 584).
Negara lain seperti Perancis, Jerman, Turki, Pakistan dan Mexico masih mencatatkan kes jangkitan bawah 200,000 kes.