PAS pastikan BN menang di Chini
21 JUN: PAS Pahang komited memastikan calon Muafakat Nasional (MN) daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zain akan mendapat sokongan penuh pengundi dari parti itu dalam da Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya akan memastikan 5,400 pengundi dari partinya mengundi Mohd Shahrim.
Sehubungan itu, Rosli berkata, PAS Pahang juga menggerakkan jentera parti untuk membantu calon BN berkempen sepanjang tempoh kempen PRK N23 Dun Chini.
“Walaupun calon BN mewakili Muafakat Nasional dilihat mempunyai kelebihan kerana menentang dua calon bebas namun kita tidak boleh terlalu selesa dan memandang ringan pihak lawan.
“Oleh itu kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan calon dari Muafakat Nasiona menang PRK DUN Chini, nanti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Mohd Shahrim (BN) menentang dua calon bebas iaitu Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu. – Oleh HAIKA KHAZI