21 JUN: Berhati-hatilah semasa keluar dari bank kerana anda mungkin boleh terlanggar pintu kaca sehingga pecah berderai.
Seorang wanita di India maut selepas secara tidak sengaja melanggar pintu kaca sebuah bank di Perumbavoor, Kochi.
Memetik laporan Times of India (TOI), mangsa yang dikenali sebagai Beena, 43, mengalami pendarahan teruk kerana tubuhnya ditusuk serpihan kaca.
Kejadian berlaku apabila Beena meluru keluar dari bank untuk mendapatkan kunci kenderaannya.
Malangnya, dia terlanggar pintu kaca dan menyebabkan ia pecah berderai.
Rakaman CCTV yang tular dalam media sosial menunjukkan mangsa jatuh terduduk namun masih mampu berdiri sejurus kemudian.
Dia dibantu oleh pekerja bank dan pelanggan yang berada di lokasi kejadian dan duduk di atas kerusi.
Kelihatan tompokan darah pada lantai di kawasan sekitar Beena duduk.
Mangsa seterusnya dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.