22 JUN: Institusi Raja di negara ini masih mempunyai peranan dalam beberapa urusan atau pentadbiran negara seperti termaktub Perlembagaan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran.
Mengambil contoh krisis politik yang berlaku akhir Februari lalu, Vigneswaran berkata, rakyat telah menyaksikan peranan penting dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
“Ia telah menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja ialah tiang seri yang amat mustahak di negara ini,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA ketika berucap pada majlis tamat tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, institusi raja di negara ini adalah harapan dan lambang perpaduan kerana bukan dipilih secara politik serta terkecuali daripada sebarang anasir politik.
Menurut beliau, inilah antara sebab yang membolehkan Institusi Diraja berpotensi memainkan peranan tanpa mengenakan syarat.
“Berbanding parti politik yang setiap keputusannya, terikat dengan sentimen dan pertimbangan kepartian,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ir. Wee Ka Siong mengucapkan selamat bersara kepad Vigneswaran yang menamatkan perkhidmatannya hari ini.
Menurut Ka Siong, sejak 2014 sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, beliau melihat Vigneswaran telah menegakkan prinsip berkecuali Dewan Negara dan berkhidmat dengan cemerlang demi kepentingan rakyat serta negara.