Kecewa Dengan Anwar, Lebih Ramai Keluar PKR
22 JUN: Tindakan beribu penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar daripada parti itu secara beramai-ramai memang sudah diramal sejak dari awal lagi.
Kekecewaan mereka bertindak sedemikian kerana tindakan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkhianati asas perjuangan parti dengan menyokong pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, matlamat utama penubuhan PKR adalah menentang segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa dilakukan ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Keempat dengan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya.
Namun apa yang mengecewakan ahli parti jelasnya,asas penubuhan PKR telah hancur apabila Anwar sendiri menghina pengorbanan ahli dan penyokongnya yang berpuluh tahun berjuang menentang Dr. Mahathir.
“Tetapi beliau (Anwar) boleh mengatakan ia hanya luka kecil dalam politik, seterusya menggangkat Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas PH menang PRU-14 lalu.
“Maknanya Anwar sendiri yang mengkhianati perjuangan dan asas penubuhan PKR. Jadi hari ini kami boleh kata ‘padan muka’ Anwar kerana beliau kini menerima pembalasan akibat perbuatannya sendiri,” katanya kepada wartawan PNBBC ketika dihubungi hari ini.
Tambah Badrul Hisham, Anwar kini dikhianati oleh rakan-rakannya seperjuangan dalam PH termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Ia berikutan katanya, ketiga-tiga pemimpin itu menyokong Dr. Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri jika mereka kembali merampas kuasa.
Berikutan itu, Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard juga tidak menolak kemungkinan akan lebih ramai keluar parti itu kerana sudah muak dengan sikap pemimpin parti yang hanya mementingkan diri sendiri. –HAIKA GHAZI