22 JUN: PKR dijangka lumpuh dan boleh terkubur sekiranya sebahagian besar pemimpin dan ahlinya meneruskan tindakan keluar parti secara beramai-ramai.
Penganalis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, dapat dilihat bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah seorang pemimpin politik yang gagal dan semakin tidak relevan dalam arena politik tanah air.
Menurut beliau, PKR yang diasaskan Anwar sendiri mengalami kerosakan teruk sehingga berpecah dua akibat kelemahan kepimpinan Anwar sendiri sehingga menjejaskan kredibiliti parti itu.
“Selepas Sabah, tidak mustahil pemimpin-pemimpin PKR di Semenanjung akan turut keluar parti dan menjadikannya terus berkubur ekoran masalah kepimpinan yang berlaku dalam parti tersebut.
“Kalau boleh berlaku di Sabah, bermakna bila-bila masa juga bakal terjadi di Semenanjung kerana PKR semakin hilang kredibiliti,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Beliau mengulas tentang perkembangan terkini yang menyaksikan ribuan pemimpin dan ahli PKR termasuk di Sabah yang keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan mereka.
Muhamad Nadzri memberitahu, situasi PKR di Sabah boleh ditafsirkan sebagai penolakan sebahagian akar umbi parti terhadap Anwar.
“Tindakan pemimpin cabang PKR di Sabah meletak jawatan menunjukkan Anwar tidak diperlukan lagi oleh rakyat di negeri berkenaan,” jelasnya.
Secara tidak langsung, kata beliau, pergolakan dalam PKR Sabah akan membantu memperkukuhkan lagi kedudukan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Senario itu akan menguatkan lagi kedudukan BN di Sabah dalam usaha meneruskan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Muhammad Nadzri juga berpandangan, krisis yang melanda PKR ketika ini berpunca daripada pertelingkahan dan merebut jawatan sesama pemimpin parti, termasuk di Selangor. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH