23 JUN: Cadangan pindaan hukuman terhadap pemandu mabuk mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet esok kata, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Beliau berkata, kerajaan bukan semata-mata mahu meminda Akta 333 itu tetapi juga merangka formula yang lebih komprehensif.
Tambah beliau, kerangka itu itu bertujuan bagi mengekang pemanduan dibawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara berbahaya melalui perundangan, penguatkuasaan dan pendidikan.
“Selain cadangan mengenakan hukuman lebih berat dibawah Seksyen 41 hingga 45 Akta 333 berkaitan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol, memandu secara melulu dan berbahaya, Kementerian Pengangkutan juga menyemak semula tahap kandungan alkohol dibenarkan dalam nafas, darah serta air kencing.
“Ia berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam berdepan isu pemandu mabuk.
“Dalam masa sama, kementerian juga akan mengesyorkan larangan kegiatan ‘geng basikal lajak’ yang membahayakan nyawa masyarakat khususnya remaja,” katanya menerusi hantaran akaun Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, Ka Siong menerima tetamu daripada Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang diketuai Pengerusinya, Archbishop Julian Leow.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas pandangan pemimpin agama itu berhubung cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Dalam pertemuan sama, saya turut memberikan penerangan serba sedikit dan menjelaskan tentang pindaan akta itu.
“Kami juga bersetuju bahawa memandu dalam keadaan mabuk tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kepercayaan agama atau bangsa; pindaan Akta 333 adalah demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” ujarnya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF