Cukuplah 22 Bulan PH Bergelora, Rakyat Mahu Nasib Dibela
23 JUN: Sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memainkan isu siapa calon Perdana Menteri dalam gabungan itu adalah semata-mata untuk memastikan bahawa kewujudan mereka dirasai.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) politik negara sentiasa bergelora dan akhirnya rakyat tertinggal ke belakang.
“Kenapa PH menyebut pelbagai perkara..Sudah ada nombor 129 (jumlah ahli Parlimen)..Itu semuanya untuk pastikan bahawa kewujudan mereka dirasai oleh rakyat. Sebab itu sewajarnya kalau dah ada 129 mengadaplah Yang di-Pertuan Agong dan tidak perlu tunggu sidang dewan (Dewan Rakyat).
“Tetapi mereka buat begitu untuk memastikan kehadiran dan kewujudan mereka dirasai kerana hari ini orang sudah mendapat pelbagai nikmat di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan didokong oleh parti-parti politik yang ada hari ini. Jadi rakyat dapat membuat perbandingan bahawa kerajaan hari ini lebih baik daripada kerajaan dahulu.,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ‘Segmen PENJANA’ yang disiarkan secara langsung seperti dilaporkan UMNO Online, malam tadi.
Segmen berkenaan yang mengupas topik ‘PENJANA: Melestari Kehidupan Rakyat’ dihoskan oleh Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid.
Shamsul Anuar berpandangan, rakayt tidak mahu mengambil kisah soal Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih berbicara soal siapa calon Perdana Menteri sebaliknya rakyat mahu kepentingan dan kebajikan mereka terbela.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, sektor ekonomi negara dan pelbagai keperluan lain hari ini mestilah dibangunkan semula selepas negara dan dunia dilanda wabak Pandemik COVID-19.
“Di kementerian saya, kita telah berbincang dengan para pegawai untuk ‘berlari’ dengan pantas dengan segala SOP (prosedur operasi standard) kerja kita yang buat dahulu kalau perlu diperbaiki, kita perbaiki dan birokrasi perlu dikurangkan dan kita nak cepat.
“Segala proses perlu dipercepatkan kerana kita nak bangkit semula. Kalau kita masih terkebelakang akan merugikan kita. Rakyat perlu dibantu dan ini yang perlu dilakukan sekarang,” ujarnya.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, kerajaan hari ini juga adalah kerajaan yang ‘gentleman’ malah sidang Parlimen juga mengikut peraturan.
“Saya cukup yakin orang bercakap apa akan jadi bulan lima sebelum ini akan ada sidang Parlimen, undi tidak percaya dan sebagainya lagi termasuklah Tun Dr. Mahathir telah menghantar surat dan akhirnya berlaku sidang dengan begitu tertib dan sebagainya lagi. Saya nak sebut bahawa kerajaan hari ini ‘gentleman’.
“Saya cukup yakin bahawa kita ada formula dan membolehkan kita melalui proses sidang ini dengan tertib kerana rakyat di luar sana mahu nasib mereka dibela,” katanya.
Beliau berkata, rakyat tidak mahu mendengar cerita mengenai berebut jawatan calon Perdana Menteri.
“Cerita-cerita berebut jawatan calon Perdana Menteri. Bukan rebut jawatan Perdana Menteri… berebut jawatan calon Perdana Menteri. Calon pun dah berebut. Bayangkan kalau itu rupanya kerajaan yang nak diangkat semula cukup-cukuplah 22 bulan menderita nak angkat balik kerajaan dahulu menggantikan kerajaan hari ini.
“Namun demikian UMNO dan Barisan Nasional khususnya sebagai sebuah parti politik dalam keadaan apa sekali pun mesti bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sama ada pilihan raya akan berlaku sampai habis tempoh penggal ini atau besok, lusa sebagai sebuah parti politik kita mesti membuat persediaan dalam semua keadaan. Itu yang harus kita lakukan,” ujarnya.