23 JUN: Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah kira-kira RM194 juta disita daripada UMNO, Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd dalam tempoh terdekat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan media hari ini berkata, permohonan rayuan terhadap empat pihak berkenaan akan difailkan oleh pihak pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara.
“Tempoh rayuan yang diberikan adalah dua minggu dari tarikh keputusan mahkamah,” jelas SPRM.
Empat entiti itu kekal memperoleh semula wang RM194 juta yang disita SPRM selepas kerajaan pada 19 Jun lalu gagal dalam permohonan untuk menggantung perintah Mahkamah Tinggi pada 7 Februari.
Perintah itu yang menolak permohonan untuk melucut hak wang berkenaan yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Permohonan perlucuthakan terhadap UMNO membabitkan wang RM192,965,413.61 dan RM300,000 bagi Wanita MCA, manakala Perano yang menjual hijab dan Binsabi yang membekalkan khemah, masing-masing RM337,634.78 dan RM827,250.
Pihak pendakwaan memfailkan permohonan perlucuthakan terhadap keempat-empat responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.