23 JUN: Kerajaan tetap dengan pendirian mengekalkan keputusan tidak menghantar jemaah menunaikan ibadah haji tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berkata, keputusan tersebut dibuat pihaknya setelah mengambil kira pelbagai pandangan berikutan pandemik COVID-19.
“Semalam Menteri Agama Arab Saudi ada menghubungi saya. Kami berbincang mengenai ibadah haji.
“Bagaimanapun, topik perbincangan itu akan saya rumuskan dalam sidang akhbar akan datang,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette selepas majlis penyerahan bantuan aktiviti dakwah dan kebajikan dan pelancaran aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MOJA) di Bangunan Perkim, hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Arab Saudi dalam kenyataannya menyatakan akan mengehadkan jemaah haji tahun ini, khusus untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, hanya sebilangan kecil penduduk dari pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi sahaja akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.
Pada tahun lalu, seramai kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji itu yang juga satu daripada Rukun Islam.
Mengenai solat bergilir, Zulkifli berkata, perkara itu juga akan dibincang dan dimaklumkan kepada umum tidak lama lagi.