Menyelesaikan masalah rakyat keutamaan Sharim
23 JUN: Berkhidmat kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia menjadi keutamaan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain apabila beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kelak.
Memetik laporan UMNO Online, aktivis gerakan belia Felda itu berkata, setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh rakyat akan diperhalusi dan ia menjadi satu petunjuk prestasi utama (KPI) kepada dirinya apabila dipilih sebagai ADUN Chini.
Beliau juga mengambil pendekatan ‘orang lama disantuni, yang muda disayangi’.
“Itulah matlamat kita dan kita akan terus mendengar keluh-kesah semua lapisan masyarakat dan saya ambil sebagai KPI saya untuk gerak kerja sebagai wakil rakyat pada masa hadapan.
“Jadi bagi saya, pastinya pengundi-pengundi memerlukan kepercayaan parti yang betul-betul boleh membela nasib rakyat di DUN Chini ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan ziarah kasih di Felda Chini 5, petang semalam.
Program itu turut disertai Ketua Pemuda PAS Felda Chini 3, Mohammad Iqbal Abd Majid yang juga merupakan Imam Masjid Felda Chini 3.
Berhubung penerimaan masyarakat sepanjang kempen yang memasuki hari ketiga, Mohd Sharim yang juga pernah dinamakan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan gembira dengan reaksi positif masyarakat.
“Bagi saya pada hari ini apabila turun (berkempen), alhamdulillah seratus peratus mengenali diri saya dan saya meraih penuh restu dan sokongan masyarakat bagi memastikan kejayaan BN di N.23 Chini,” jelasnya.
Sementara itu, ketika mengulas isu bekalan lampu jalan di jalan utama sepanjang 26 kilometer yang terputus, beliau berkata masalah itu timbul kerana ia melibatkan tunggakan pembayaran bil yang ditanggung oleh peneroka.
Mohd Sharim berjanji akan memperhalusi perkara tersebut bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan negeri Pahang kerana ia melibatkan keselamatan pengguna.