Operasi gempur PATI selesai banyak masalah dalam negara
23 JUN: PAS menyokong penuh tindakan pihak berkuasa melancarkan operasi menjejaki, menahan dan menghantar pulang pendatang tanpa izin (PATI) ke negara asal mereka.
Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS berpendirian bahawa operasi menjejaki, menahan dan menghantar pulang PATI ke negara asal mereka apat menyelesaikan banyak masalah dalam negara
Menurut beliau, walaupun langkah itu dipergiatkan oleh kerajaan berikutan mengawal penularan COVID-19, ia hendaklah dilaksanakan hingga mencapai matlamat yang lebih menyeluruh.
“PATI tidak seharusnya berada bebas dalam negara ini tanpa permit kerja sah yang menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini.
“Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi lain juga mesti digerakkan sepenuhnya bagi memerangi PATI yang memasuk ke negara ini secara haram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Berikutan itu, Kamaruzaman berkata, PAS memuji usaha proaktif polis Johor, diketuai oleh Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang berjaya membongkar kegiatan segelintir anggota dan pegawai penguat kuasa yang bersubahat dengan kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia di selatan tanah air.
Selain faktor sempadan terbuka negara yang luas, Kamaruzaman berkata integriti penguat kuasa juga menjadi faktor penting kepada kedaulatan negara.
“PAS juga berharap kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia dan semua agensi berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya barah PATI ini dapat dihapuskan sepenuhnya demi menjaga kedaulatan negara.
“Pandemik’ ini adalah lebih bahaya dari COVID-19 kerana bukan sahaja boleh membunuh, bahkan boleh meruntuhkan negara,” tegasnya.