Calon Bebas tabur retorik politik kepada pengundi Chini
24 JUN: Dakwaan calon-calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kononnya mereka membawa suara rakyat dianggap retorik politik semata-mata.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata, hakikatnya Barisan Nasional (BN) selama ini sentiasa berusaha dan berjaya menyelesaikan permasalahan yang melibatkan kepentingan serta kebajikan rakyat.
Menurut beliau, berdasarkan rekod perkhidmatan, wakil UMNO di DUN Chini telah memainkan peranan yang cukup baik membawa hasrat rakyat sama ada mereka yang tinggal di kampung tradisional, Orang Asli dan di kawasan Felda.
“Kalau kita lihat perkembangan pembangunan di DUN Chini ini, saya kira ia merupakan salah satu DUN yang mempunyai kemudahan infrastruktur yang paling lengkap.
“Felda sendiri cukup jauh berbeza berbanding mula kawasan ini dibuka. Kemudahan kesihatan, pendidikan dan kemudahan pendidikan yang agak tinggi di sini wujudnya sebuah Institut Kemahiran Belia di kawasan Chini ini,” katanya seperti dipetik dari laporan UMNO Online.
Untuk rekod, pihak pembangkang sering memanipulasi isu bekalan air tetapi hakikatnya ia dalam proses pelaksanaan di mana kerja-kerja pembinaan projek kolam takungan hiliran (ORS) Loji Rawatan Air (LRA) Chini akan mula dibina September ini.
Projek yang bakal memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar Felda Gugusan Chini termasuk kampung-kampung tradisional itu tergendala berikutan tindakan kerajaan Pusat di bawa Pakatan Harapan (PH) sebelum ini melambatkan pembinaannya meskipun peruntukan sebanyak RM18 juta telah diluluskan sejak 2017 ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Farid yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis menambah, walaupun sedikit masalah akibat faktor luar jangka, namun isu yang dihadapi dapat ditangani dengan baik.
“Jadi masalah yang wujud ialah lebih kepada masalah semasa yang kita tidak boleh elak. Sebagai contoh ada orang cakap masalah bekalan air.
“Kita akui wujud masalah itu tetapi perlu diingat ketika kawasan ini mula-mula dibuka, bekalan air tiada jadi BN yang membangunkan bekalan air.
“Sampai satu masa kemungkinan bekalan air ini tidak mencukupi akibat perubahan alam sekitar, pertambahan penduduk dan sebagainya. Kita memainkan peranan juga dengan membaik pulih dan meningkatkan taraf loji-loji air yang ada di kawasan Chini,” jelasnya.
Beliau memberitahu, proses pembangunan dan menaik taraf fasiliti merupakan usaha berterusan yang diusahakan oleh kerajaan BN.