Dr Afif sahkan masuk Bersatu, telah maklumkan Muhyiddin
24 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, yang digantung dari PKR pada April sementara menunggu siasatan oleh lembaga disiplin parti mengesahkan beliau keluar parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau turut mengesahkan akan duduk bersama wakil rakyat Bersatu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, November ini.
Dr Afif memberitahu, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Oleh kerana kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) meletakkan saya sebagai pembangkang, saya akan duduk sebagai wakil rakyat Bersatu dalam sidang DUN akan datang.
“Saya akan mewakili Bersatu dalam DUN. Kerajaan negeri (Pulau Pinang) sudah menjadikan saya sebagai ADUN pembangkang sejak Mac,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Beliau menambah, keputusan menyertai Bersatu dibuat bagi membolehkannya berkhidmat dengan baik melalui kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, pada 4 Mac lalu, Dr Afif meletak jawatannya sebagai Exco Kesihatan Pulau Pinang.
Sementara itu, BH Online melaporkan, beberapa ADUN PKR, PAS dan Bersatu di Pulau Pinang turut bertemu dengan Muhyiddin di Putrajaya.
Mereka ialah ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishak; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dan ADUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH