24 JUN: Kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan sekiranya Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan ibadah haji secara terhad pada musim ini.
Perkara itu disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada pemimpin-pemimpin Arab Saudi.
Menerusi kenyataan bersama kedua-dua menteri itu, Hishammuddin telah menerima panggilan telefon pada 22 Jun lalu daripada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud.
Menurutnya, beliau telah dimaklumkan oleh Putera Faisal bahawa kerajaan negara itu sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ibadah haji tahun ini diteruskan namun terhad kepada Arab Saudi serta rakyat negara-negara Islam yang sudah berada di sana.
“Semalam, Dr. Zulkifli juga menerima panggilan telefon daripada Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi, Shaikh Abdullatif Abdulaziz Aal Al Shaikh serta Menteri Haji dan Umrah, Shaikh Dr. Muhammad Saleh Taher Benten.
“Kedua-dua pemimpin negara itu memaklumkan perkara sama mengenai peraturan baharu musim haji tahun ini,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Kata kenyataan itu, Malaysia amat menerima baik pendirian kerajaan Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia bagi memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan selamat.
“Ia dapat dilaksanakan berdasarkan perspektif kesihatan umum. Malah ia juga bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz-al-nafs(pemeliharaan nyawa),” ujarnya.
Kedua-dua menteri itu turut mengajak umat Islam negara ini mendoakan semoga wabak COVID-19 beransur hilang dari Arab Saudi, Malaysia dan seluruh dunia.
“Marilah juga kita doakan semoga ibadah haji tahun hadapan dapat dijalankan sebagaimana sebelum ini,” katanya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF