24 JUN: Dua pengarah syarikat ditahan reman selama enam hari sehingga 29 Jun ini kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kontrak promosi pengiklanan dikendalikan sebuah agensi kerajaan berjumlah lebih RM7 juta.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas menerima permohonan dikemukakan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.
Terdahulu kedua-dua individu masing-masing berusia 31 dan 45 tahun datang memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira pukul 11 malam tadi, sebelum ditahan untuk membantu siasatan kes terbabit.
Difahamkan, kedua-dua pengarah syarikat itu bersama sebuah agensi kerajaan didapati bersubahat mengemukakan dokumen dan maklumat palsu kepada sebuah syarikat penyedia pinjaman berjumlah lebih RM7 juta.
Menurut sumber, mereka dikatakan menggunakan dokumen dan borang palsu berkenaan untuk memohon pinjaman kewangan bagi melaksana projek kelolaan agensi kerajaan terbabit.
“SPRM juga masih menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan ada beberapa lagi pemilik syarikat lain yang disyaki terbabit.
“Sebelum ini, SPRM sudah menahan kedua-dua suspek berkenaan berkaitan dengan kes sama awal bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Pada 11 Jun lalu, media melaporkan SPRM menahan tiga pengarah syarikat disyaki terbabit rasuah untuk memperoleh kontrak pengiklanan kerajaan bernilai kira-kira RM90 juta.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.