Singapura Sediakan Kios Layan Diri Periksa Suhu Badan
24 JUN: Dalam mengekang penularan COVID-19 di Singapura, kerajaan di negara itu meletakkan kios layan diri bagi membolehkan rakyatnya memeriksa suhu badan tanpa sentuhan di tempat pengangkutan awam.
Memetik laporan Beritamediacorp Singapura, kios tersebut akan diletakkan di 70 tempat pengangkutan awam di seluruh negara itu secara berperingkat menjelang suku ketiga tahun ini.
Perkara itu diumumkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) hari ini ketika republik itu sedang melangkah fasa kedua pembukaan beberepa sektor yang selamat.
“Inisiatif ini melengkapi langkah-langkah keselamatan sedia ada termasuk pengangkutan awam, tempat kerja, sekolah, pusat beli-belah dan kemudahan masyarakat untuk melindungi kesihatan awam secara keseluruhannya,” menurut MCCY dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, demam adalah salah satu simptom biasa bagi wabak COVID-19.
“Semua orang digalak supaya terus berwaspada dengan memantau kesihatan mereka dengan rapi.
“Walaupun ini tidak akan mengesan kes yang tidak bergejala, inisiatif ini adalah untuk mengingatkan mereka yang bergejala supaya duduk di rumah dan mendapatkan rawatan segera bagi memastikan Singapura selamat,” ujar kenyataan itu.
Selain MCCY, kios-kios tersebut akan disediakan Penguasa Pengangkutan Darat (LYTA) serta Agensi Pertahanan Sains dan Teknologi (DSTA) yang menyokong para pengendali pengangkutan awam Singapura iaitu SBS Transit, SMRT Corporation, Tower Transit Singapore dan Go-Ahead Singapore.
Kios itu akan disediakan di lokasi pengangkutan awam bagi tempoh sehingga setahun meliputi sekitar 20 pusat pertukaran bas dan 50 stesen kereta api.