24 JUN: Sokongan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dianggap sebagai tidak wajar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mempersoalkan mengapa Dr Mahathir menyokong calon Bebas sedangkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon untuk bertanding.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan, sokongan Dr Mahathir tersebut hanya memberi kesan yang sangat kecil terhadap kempen Barisan Nasional (BN).
“Ada sikit-sikit (terkesan), itu biasalah kerana ada orang-orang yang fanatik dengan dia.
“Tetapi saya kira dia tidak memahami perjuangan kawasan ini, entah dia pernah sampai sini atau tidak, jadi dia tidak faham masalah masyarakat di sini,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette, hari ini.
Ahmad mengulas sokongan Dr Mahathir secara peribadi kepada calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin yang akan mencabar calon BN, Mohd Sharim Md Zain.
Tengku Zainol yang juga bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan merupakan anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Pekan, Allahyarham Datuk Shamsiah Abdul Hamid.
Perkembangan itu menyaksikan Dr Mahathir buat julung-julung kalinya menyokong calon Bebas.
Seorang lagi calon Bebas dalam pertembungan tiga penjuru di Chini ialah Mohd Shukri Mohd Ramli.