Bantuan Prihatin ringankan beban pekebun kecil koko
25 JUN: Inisiatif kerajaan menyalurkan bantuan input pertanian di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) turut meringankan beban pekebun kecil koko di seluruh negara.
Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Anyi Ngau berkata, peruntukan sebanyak RM2.69 juta itu memberi manfaat kepada seramai 4,566 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman koko seluas 3,134 hektar.
“Pemberian bantuan ini akan membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau mengiringi Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin yang melakukan lawatan kerja ke Pusat Inovasi dan Teknologi Koko Lembaga Koko Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.
Semasa lawatan tersebut, Willie dan Anyi diberi taklimat pengenalan mengenai Lembaga Koko Malaysia serta mengenai fungsi dan peranan Pusat Inovasi dan Teknologi Koko Nilai yang merangkumi penyelidikan dalam bidang pemprosesan koko, pembangunan produk, peningkatan kualiti dan penyelenggaraan produk koko.
Selain itu, pusat tersebut turut menawarkan kursus pembuatan coklat buatan tangan, kursus coklat panning, kursus sensori coklat serta menjalankan aktiviti pelesenan dan penggredan.
Di samping itu, Pusat Inovasi dan Teknologi Koko juga menjalankan penyelidikan bagi pembangunan produk bukan makanan berasaskan koko.
Antara produk bukan makanan yang telah berjaya dikomersialkan adalah produk ubat gigi dan produk mandian berasaskan koko.
Semasa lawatan di sekitar kompleks Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, Lembaga Koko Malaysia telah memberi penerangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di pusat berkenaan seperti analisis produk-produk koko, pengeluaran blok coklat untuk usahawan coklat bimbingan LKM dan penyewaan mesin Makmal Rintis Coklat.
Hasil-hasil penyelidikan Lembaga Koko Malaysia turut dipamerkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN