25 JUN: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang dipecat daripada PKR bukanlah satu pengkhianatan kepada parti.
Namun, kenyataan Amanah dan DAP yang menolak pencalonan Presiden PKR, Datuk Ser Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri itu merupakan suatu pengkhianatan kepada parti tersebut.
Afif berkata, seharusnya Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik tegas menyatakan pendirian PKR harus keluar daripada pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Tak timbul sebenarnya soal khianat kerana apa yang saya lakukan semuanya kerana mandat rakyat. Yang sebenarnya kalau nak ikutkan Amanah dan DAP yang sebenarnya telah mengkhianati kalau menurut kenyataan Bakhtiar.
“Seharusnya Bakhtiar dan Nurul Izzah kena nyatakan pendirian mereka keluar daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana mereka telah menolak Anwar,” katanya ketika dihubungi PN BCC Portal di sini, hari ini.
Terdahulu, PKR Pulau Pinang semalam mengesahkan Afif telah dipecat dari parti itu namun Muhammad Bakhtiar tidak menyatakan butiran terperinci tentang pemecatan dirinya.
Afif juga mengesahkan beliau bersedia menjadi wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan duduk di blok pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, November ini.
Beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan di Putrajaya, kelmarin.
Dalam pada itu, Afif berkata, tindakan beliau keluar PKR demi mahu kebajikan di kawasannya terjaga setelah segala peruntukannya sebagai wakil rakyat dinafikan oleh kerajaan negeri.
Beliau mengakui pertemuannya bersama Perdana Menteri adalah untuk memaklumkan kesediaannya menyertai Bersatu demi kepentingan rakyat di kawasannya.
“Saya tak khianat sesiapa pun. Lagipun, Saya dipecat dari PKR pun tanpa sebarang proses disiplin yg selayaknya yang sehingga kini saya tidak menerima surat pemecatan daripada parti, malah Lembaga Disiplin PKR juga tidak maklumkan apa-apa pada saya.
“Saya (bersedia) menyertai Bersatu sebab nak bantu rakyat. Saya adakan pertemuan bersama Perdana Menteri itu pun kerana saya bantu mendapatkan bantuan daripada kerajaan pusat untuk membantu rakyat di kawasan saya,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH