Gaji RM3,000 tarik minat rakyat kerja di ladang sawit
25 JUN: Gaji pekerja dalam sektor perladangan sawit perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan bagi menarik minat rakyat tempatan bekerja dalam bidang berkenaan.
Cadangan itu disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Beliau turut menyarankan kepada majikan untuk melakukan penambahbaikan dari segi kebajikan dan keselesaan pekerja.
“Saya harap ganjaran atau bonus yang mereka ingin beri kepada pekerja asing boleh disalurkan untuk tujuan mengambil pekerja tempatan pula.
“Jika pekerja asing mahu henti kerja untuk pulang ke negara asal, biarkan mereka pulang,” katanya.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan mengulas laporan media tentang kesediaan majikan dalam sektor perladangan sawit memberi manfaat tambahan kepada pekerja asing untuk memujuk mereka terus bekerja di negara ini.
Laporan itu menyebut, hampir 337,000 warga asing bekerja dalam industri sawit tetapi masih kekurangan lebih 37,000 pekerja untuk sektor perladangan.
Rata-rata pekerja asing dalam industri sawit menerima gaji RM3,00 sebulan dan dua pertiga daripada jumlah tersebut dihantar pulang ke negara asal mereka dan tidak dibelanjakan dalam ekonomi tempatan.
Pada masa yang sama, Najib memberitahu, kerajaan juga ada peranan memberi insentif tambahan kepada syarikat-syarikat tempatan untuk menaikkan gaji warga tempatan dan menaikkan kebajikan serta keselesaan mereka dalam usaha mengganti pekerja asing.
“Masa krisis Covid-19 ini, kita lebih perlu jaga warga kita sendiri,” jelasnya.
Menurut beliau, perkara itu bukan dilaksanakan di Malaysia sahaja malah di negara-negara lain juga. – Oleh HUSSAINI AMRAN