Sharim berjanji perjuangkan nasib Orang Asli
26 JUN: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain berjanji untuk memperjuangkan nasib masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Malah beliau juga akan membangunkan kampung tradisi di kawasan DUN Chini demi meneruskan perjuangan bekas ADUN Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar.
“Saya akan melakukan sebaik mungkin untuk memastikan nasib masyarakat Chini khususnya di kawasan kampung Orang Asli dan kampung tradisi
“Dan juga masyarakat Felda akan saya perjuangkan sebaik mungkin,” katanya seperti dilaporkan oleh MalaysiaGazette selepas program bertemu penduduk Orang Asli bersama calon BN di Chini, hari ini.
Mohd Sharim mengiringi Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun padang membantunya berkempen di sekitar Chini.
Sementara itu, Tok Batin Manda Mat, 62, berkata, pihaknya gembira dengan kedatangan calon BN yang membawa berita gembira kepada mereka.
Mana tidaknya, menurut beliau, kesemua mereka bakal menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam dalam masa terdekat.
“Ini merupakan tanah adat kami dan sudah beberapa generasi tinggal di sini tanpa bekalan elektrik,” jelasnya.