Tidak Perlu PRU-15, Utamakan Kepentingan Rakyat
25 JUN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebaiknya tidak perlu diadakan dalam masa terdekat demi kemaslahatan dan kepentingan rakyat terutama ketika pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
Cadangan tersebut disuarakan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ir. Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad yang menyatakan jika PRU-15 diadakan pembaziran duit kerajaan akan berlaku kerana kos diperlukan untuk mengadakannya mencecah jumlah RM500 juta.
Beliau berkata, fokus membangunkan kembali ekonomi domestik akan sedikit terjejas berikutan banyak tenaga, masa dan fikiran para pimpinan negara tertumpu kepada PRU-15.
“Kesihatan dan keselamatan rakyat akan terjejas kerana negara masih belum sembuh sepenuhnya dari pandemik Covid-19. Kemungkinan besar pergerakan dan percampuran rakyat yang amat sukar dikawal sepanjang proses PRU akan menyebabkan gelombang kedua COVID-19.
“Pergeseran dalaman kebanyakan parti politik negara akan semakin keras bagi merebut tempat bertanding. Pergelutan di antara parti juga akan semakin klimaks bagi membentuk pakatan terbaik untuk memenangi bilangan kerusi terbanyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi UMNO dan Pas secara atas kertas kemungkinan besar akan memenangi bilangan majoriti kerusi parlimen.
Bahkan ujarnya, mungkin lebih banyak berbanding apa yang diperoleh mereka dalam PRU-14 lalu dan akhirnya gabungan PN akan memerintah semula negara.
“Namun, politik adalah sesuatu yang amat sukar dijangka. Kita harus bersedia menerima sebarang kemungkinan yang ada,” katanya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF