Afif boleh cabar undang-undang antilompat parti
26 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, boleh mencabar Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang menghalang amalan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, tindakan untuk mencabar peruntukan itu boleh menggunakan kes membabitkan bekas ADUN dari Kelantan sebagai duluan.
“Dulu di Kelantan dalam kes Nordin Salleh, peruntukan antilompat parti pernah dicabar dan peruntukan sedemikian dikatakan tidak sah oleh mahkamah.
“Ini disebabkan ia dikatakan bercanggah dengan hak berpersatuan. Semua ADUN ada hak menyertai mana-mana persatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang pada 2012 yang menyatakan, mana-mana ahli yang bertanding atas tiket parti tertentu dan keluar parti, kerusi terbabit boleh dianggap kosong.
Tindakan itu susulan pengumuman Dr Afif kelmarin bahawa beliau tidak lagi bersama PKR dan bersedia untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di samping bersedia duduk di blok pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, November ini.
Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan didapati perlu atau suai untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen; mana-mana DUN atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, ditanya mengenai tindakan Dr Afif keluar PKR, Muhammad Agus berpandangan, keputusan itu mungkin tindakan yang relevan bagi membantu kebajikan dan masalah rakyat di kawasannya.
“Ini merupakan pendiriannya yang bagi saya dia lakukan demi penduduk di kawasannya. Kalau dia masih kekal dengan Anwar dan PKR pun, dia tak boleh pergi mana.
“Mungkin akan timbul pelbagai tafsiran tetapi di kalangan penyokongnya boleh faham kerana tindakannya keluar parti adalah untuk membantu penduduk di DUN Seberang Jaya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH