26 JUN:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan ahli-ahli Parlimen tentang peranan penting mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat terutama dalam memerangi pandemik COVID-19.
Beliau berkata, mereka bertanggungjawab memastikan semua tindakan yang telah diambil berhasil dalam memberikan sokongan dan perlindungan kepada kelompok masyarakat yang berisiko serta mudah terjejas.
“Saya menekankan kepentingan peranan ahli Parlimen untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat di kawasan masing-masing tentang bahaya COVID-19 dan keperluan mengamalkan normal baharu,” katanya menerusi hantaran akaun Facebook milik beliau sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi di antara Para Pemimpin Tertinggi ASEAN dengan para perwakilan Pertbuhan Parlimen ASEAN (AIPA) di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-36 yang diadakan menerusi sidang video.
Menerusi sesi yang dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Zuan Phuc, Muhyiddin turut menggesa ahli-ahli Parlimen ASEAN mengetepikan perbezaan politik dalam tempoh mencabar ini dan bertindak secara bersepadu untuk memerangi wabak itu.
Beliau juga sekali lagi mengulangi sudah tiba masanya Pelan Pemulihan Ekonomi Serantau dirangka bagi merancakkan ekonomi rantau melalui pelaksanaan ‘Green Travel Bubbles’ dan pelancongan intra-ASEAN.
“Cara ASEAN sememangnya berkesan dan kejayaan negara-negara anggota rantau akan menjadi penentu pencapaian komuniti ASEAN.
“Tanggungjawab terletak di bahu kita, dengan kejujuran dan saling mempercayai kita boleh bangkit sebagai kuasa serantau yang kuat dalam era pasca pandemik COVID-19,” katanya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF