26 JUN: Sebanyak enam kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan lima warga tempatan dan satu bukan warga tempatan dengan jumlah kumulatif sebanyak 8,605 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, empat merupakan kes import melibatkan warganegara tempatan yang pulang dari luar negara, satu kes bukan warganegara atas urusan kerja dan satu kes warga tempatan ketika melakukan saringan virus tersebut ditempat kerja.
Menurut beliau, kes kebolehjangkitan menunjukkan angka dibawa 200 ratus iaitu sebanyak 191 kes dan kesemua mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.
“Tiada kes penularan tempatan dilaporkan. Ingin dimaklumkan terdapat dua kes positif COVID-19 menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selain itu tiada pertambahan kes melibatkan kematian dan jumlah kumulatif kekal iaitu 121 kes atau 1.41 peratus,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Mengenai perincian enam kes baharu itu beliau menjelaskan, terdapat dua kes berlaku di Selangor melibatkan satu kes dari Rusia iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan warganegara tersebut.
Menurut beliau, dia merupakan seorang juruterbang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja dikesan positif RTK-Ag, bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Beliau berkata, satu kes lagi pula melibatkan seorang wanita warganegara tempatan berusia 65 tahun yang baru pulang dari London didapati positif RTK-Ag, tidak bergejala dan dimasukkan ke hospital sama.
“Johor mencatatkan dua kes iaitu satu kes import melibatkan wanita berusia 37 tahun pulang dari Indonesia melalui Pintu Masuk Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru.
“Dia dikesan positif RTK-Ag, tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, kes kedua negeri itu seorang lelaki berusia 29 tahun merupakan warganegara tempatan yang pulang dari Singapura bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Tambahnya, dia dikesan positif RTK-Ag ketika melalui Kompleks Sultan Abu Bakar dan kini dirawat di hospital sama.
“Selain itu satu kes dilaporkan di Kedah melibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun merupakan warga tempatan dikesan positif RTK-Ag di Pintu Masuk Antarabangsa Bukit Kayu Hitam ketika pulang dari Thailand.
“Dia tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF