Duta, kakitangan kedutaan asing boleh solat Jumaat 3 Julai
26 JUN: Duta-duta serta kakitangan kedutaan warga asing yang beragama Islam dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid mulai 3 Julai ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini juga bersetuju untuk membenarkan surau-surau yang diuruskan oleh pejabat kedutaan yang beroperasi sebelum PKP untuk melaksanakan solat Jumaat.
Menurut beliau, Kementerian Luar akan menghantar nota diplomatik kepada kedutaan yang terlibat berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.
“Walau bagaimanapun bagi warga asing beragama Islam yang lain, kebenaran masih dalam pertimbangan dan keputusan akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Mesyuarat Khas turut bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula berdasarkan tarikh pembukaan sekolah-sekolah yang akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan tidak lama lagi.
Beliau menambah, sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar sahaja dibenarkan dibuka dan perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
“Sekolah dan madrasah tahfiz yang mempunyai kemudahan asrama perlu mengikut SOP sekolah asrama yang ditetapkan.
“Bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar perlu membuat permohonan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama negeri,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas bersetuju untuk membenarkan pusat tuisyen, sekolah-sekolah pendidikan khas dan institusi pendidikan swasta untuk beroperasi.
“Walay bagaimanapun, perincian berkenaan tarikh dan SOP akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan,” ujarnya.
Menurut beliau, surau-surau sekolah juga diberi kebenaran untuk digunakan sewaktu sesi persekolahan dan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial. – Oleh HUSSAINI AMRAN