26 JUN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengeluarkan senarai kategori rakyat Malaysia yang dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon kebenaran awal dari jabatan itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, peraturan baharu itu teah diaksanakan sejak 24 Jun lalu.
Beliau berkata, bagi kategori pelajar, mereka yang dibenarkan ke luar negara adalah pelajar Malaysia yang belajar di institut pengajian di sana termasuk yang baharu menerima tawaran atau ingin mengambil peperiksaan.
Tambah beliau, golongan itu perlu menunjukkan pas pelajar, visa, pas jangka panjang, surat tawaran, surat arahan mengambil peperiksaan serta dokumen sokongan berkaitan kepada pegawai imigresen di pintu masuk.
“Warganegara Malaysia yang pulang ke negara ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ingin keluar negara bagi yang bermastautin dengan taraf Penduduk Tetap atau memiliki Pas Jangka Panjang atau bekerja di luar negara dibenarkan keluar negara tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada JIM.
“Dengan syarat dokumen pembuktian seperti Permit Kerja atau dokumen sokongan berkaitan hendaklah dikemukakan semasa berurusan di kaunter Imigresen di pintu keluar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bagi mereka yang mempunyai keperluan ke luar negara untuk tujuan lain selain belajar, bekerja dan menetap seperti menghadiri mesyuarat, seminar, pameran serta atas urusan kecemasan dan perniagaan perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Imigresen (KPI) untuk kelulusan.
“Pemohon perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan lain-lain dokumen sokongan melalui e-mel ke kpi@imi.gov.my,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut mengeluarkan senarai kategori warganegara asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran daripada jabatan itu.
“Mereka ialah Pemastautin Tetap (PR) Malaysia; diplomat; suami, isteri, anak kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Penggajian (Kategori I); Pas Residen – Talent (RPT).
“Selain itu Pas Tanggungan kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen – Talent serta Pembantu Rumah Asing kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen – Talent turut dibenarkan masuk tanpa perlu memohon kebenaran,” ujarnya.
Jelas beliau, kebenaran itu diberikan tertakluk kepada status pas yang masih sah tempoh.
“Warganegara asing selain daripada kategori dinyatakan di atas perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan lain-lain dokumen sokongan melalui e-mel ke kpi@imi.gov.my,” ujarnya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF