26 JUN: Malaysia antara yang tertinggi mencatatkan kadar penyembuhan kes COVID-19 dalam kalangan negara ASEAN iaitu 96.4 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu kadar kematian di negara ini juga antara paling rendah di dunia iaitu 1.41 peratus.
Jelasnya, sejak 12 hari lalu tiada kes kematian disebabkan COVID-19 di negara ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kerjasama dengan kerajaan bagi pencapaian ini serta usaha bersama membendung penularan jangkitan COVID-19.
“Namun demikian, suka diingatkan bahawa peperangan menghadapi virus COVID-19 masih belum tamat.
“Masyarakat disaran untuk kelal berwaspada dan terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) serta saranan yang ditetapkan supaya kita dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya dalam sidang akhbar harian COVID-19 hari ini. – MOHD. FAIRUZ YUSOF