26 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menunjukkan keprihatinan yang tinggi dengan berkenan mencemar duli dan meninjau sendiri pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, di sini, Kuala Lumpur.
Al-Sultan Abdullah berkenan melawat ke SMK Danau Kota bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan yang bermula sejak dua hari lalu membabitkan kelas peperiksaan awam, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah yang diiringi anakandanya Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, tiba di SMK Danau Kota dengan disambut oleh Menteri Pendidikan, Dr. Radzi Jidin dan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, dalam lawatan berkenaan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan tatacara kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh para guru, murid dan ibu bapa atau penjaga.
Menurut kenyataan berkenaan langkah itu adalah penting bagi mencegah penularan wabak COVID-19, khususnya di sekolah-sekolah berikutan pembukaan semula sesi persekolahan untuk kelas peperiksaan awam membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam.
“Keberangkatan Al-Sultan Abdullah mencerminkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap keselamatan dan kesihatan para guru dan murid sekolah di seluruh negara yang kembali bertugas dan belajar secara bersemuka setelah hampir tiga bulan sekolah-sekolah diarah tutup berikutan penularan COVID-19.
“Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, pihak sekolah dan semua guru di atas kesiapsiagaan serta persediaan rapi bagi menjamin keselamatan diutamakan dan mengelakkan risiko jangkitan di kalangan guru dan murid sepanjang berada di sekolah,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah turut menasihati para guru dan murid agar bersabar menjalani sesi persekolahan dengan tatacara kebiasaan baharu, termasuk penjarakan sosial, dan sentiasa berdisiplin menjaga kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan di dalam dan luar waktu persekolahan.
“Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga semua guru dan murid di Malaysia yang kembali bertugas dan bersekolah dipermudahkan segala urusan dan dilindungi Allah SWT,” kata kenyataan berkenaan. – HAIKA GHAZI