26 JUN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, belum menghantar sebarang notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Seberang Jaya, berikutan tindakan wakil rakyatnya Dr Afif Bahardin, keluar dari parti PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang surat daripada Speaker DUN Pulau Pinang bagi memaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN Seberang Jaya.
“Kalau betul kerusi DUN Sebarang Jaya sudah kosong sekarang maka Speaker kena tulis surat kepada SPR untuk memaklumkan kepada kita bahawa terdapat kekosongan.
“Tetapi, sehingga hari ini belum ada apa pengumuman atau surat rasmi dihantar oleh Speaker DUN Pulau Pinang kepada SPR untuk memaklumkan mengenai kekosongan kerusi terbabit,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Beliau mengulas tentang dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi DUN Seberang Jaya, selaras dengan enakmen antilompat parti di Pulau Pinang.
Pada November 2012, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan Enakmen Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan) 2012 bagi mengelak amalan lompat parti dalam kalangan ADUN, sekali gus mengelak kerajaan yang menang pada pilihan raya umum ditumbangkan secara tidak demokrasi.
Ia memperuntukkan mana-mana ADUN dipilih sebagai calon sesebuah parti politik perlu mengosongkan kerusinya, jika melepaskan, dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa alasan.
Seksyen 14 A Enakmen berkenaan memperuntukkan ADUN yang bertukar parti perlu mengosongkan kerusinya, selain ADUN bebas juga perlu berbuat demikian jika menyertai sesebuah parti politik di negeri itu.
Pada masa yang sama, Azhar berkata, SPR tetap akan membuat persediaan untuk mengadakan PRK seperti biasa jika kerusi DUN Seberang Jaya disahkan kosong oleh Speaker DUN Pulau Pinang.
Sementara itu, pakar perlembagaan dan Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata jika pindaan Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 sah mengikut undang-undang dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia maka kerusi DUN Seberang Jaya memang boleh dianggap kosong sekarang.
“Namun, kedudukan sama ada kerusi berkenaan kosong atau tidak bergantung kepada keputusan dan pengumuman rasmi Speaker DUN Pulau Pinang itu sendiri,” jelasnya.
Beliau menambah, ADUN berkenaan juga boleh mencabar keputusan Speaker DUN Pulau Pinang di mahkamah jika beliau tidak berpuas hati dengan perkara itu. – Oleh HAIKA KHAZI