27 JUN: Usaha Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menjadi ‘orang tengah’ bagi mendamaikan hubungan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan rasa kurang senang di kalangan otai reformasi PKR.
Ini dapat dilihat dari nada tegas bekas pengasas PKR, Dr Syed Husin Ali berhubung peringatannya kepada Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu
Menurut beliau, tanpa kerjasama Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Presiden parti, tidak mungkin Dr Mahathir boleh menjadi Perdana Menteri ketujuh.
“Hei Khalid, tanpa kerjasama daripada Wan Azizah serta Anwar, bertuah Mahathir boleh jadi PM ke-7,” katanya menerusi satu ciapan dalam akaun Twitter miliknya, hari ini.
Syed Husin, merupakan kumpulan reformasi yang lantang mengkritik Mahathir dan tidak bersetuju bekas Perdana Menteri ketujuh itu diheret masuk dalam Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, Khalid dalam laporannya kepada sebuah portal berita Rabu lalu, mengakui perkembangan semasa dalam PH menunjukkan hubungan kurang positif antara kedua tokoh itu.
Tambahnya, beliau yakin masih ada harapan untuk mendamaikan Dr. Mahathir dan Anwar seperti dilakukan mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dua tahun lalu.- AIMAN SADIQ ABDULLAH