27 JUN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dinamakan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.
Situasi itu kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilihat sesuatu yang canggung.
“Kalau dulu masa jadi Perdana Menteri (Dr. Mahathir) mewakili PH tidak pernah mahu mengumumkan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri mana mungkin hari ini dia nak umumkan Anwar sebagai calon jawatan nombor dua itu.
“Ini nampak sangat kata-kata untuk menyedapkan telinga dan menarik minat kumpulan Anwar Ibrahim semata mata,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette hari ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Menteri Dalam Negeri di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3, hari ini.
Mengenai tindakan bekas Perdana Menteri itu yang akan mengutarakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Hamzah berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu boleh buat apa sahaja yang dimahukannya.
“Beliau (Dr. Mahathir) boleh bercakap apa sahaja, tapi yang penting adalah dalam amalan demokrasi apabila kerajaan telah tertubuh kerajaan ini diterima baik rakyat dan ahli Parlimen. Beliau nak cakap apa pun terpulang.
“Semua ada hak untuk bekalan dan hak kempen demi kepentingan mereka, apa guna nak jadi Perdana Menteri hanya dalam enam bulan,” katanya.
Dr. Mahathir hari ini mengesahkan telah melakukan kesepakatan bersama Amanah, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP bagi mencalonkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Menurut Dr. Mahathir, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala anaknya, Datuk Seri Muhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.