Golongan wanita, ibu tunggal di Chini tidak dipinggirkan
27 JUN: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Sharim Md. Zain berkata, beliau tidak akan meminggirkan pengundi wanita khususnya ibu tunggal sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.
Menurut beliau, segala bantuan akan diteruskan seperti Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang banyak memberi sumbangan kepada ibu miskin dan cara membantu mereka untuk berdikari serta meningkatkan pendapatan.
“Kita akan cuba untuk memastikan produk yang telah diusahakan oleh ibu tunggal juga dijadikan satu produk untuk warga Chini.
“Kita juga akan cuba melihat daripada golongan wanita yang ada dan kita akan cuba melihat pada minat yang ada dan cuba untuk membantu melalui agensi yang ada di Pahang,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika berkempen bersama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun razak di Salong, Chini.
Dalam pada itu Mohd. Sharim berkata, walaupun berbaki seminggu lagi hari mengundi pada 4 Julai ini, beliau terus berkempen bertemu pengundi walaupun sehingga kini telah meliputi 60 peratus pertemuannya dengan masyarakat Chini.
“Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi muda dan orang lama untuk bersama beri kepercayaan kepada saya untuk calon BN,” ujarnya.